Thursday, 10 November 2016

CIRI-CIRI POLITIK YANG STABIL

Maksud politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Politik sering dikaitkan dengan kerajaan. Namun begitu, ia juga boleh didapati di dalam badan korporat, akademik, agama dan institusi lain. Politik negara yang stabil amat penting untuk membina tamadun negara yang membangun. Kestabilan politik di dalam sesebuah negara hendaklah dicapai agar negara tersebut tidak akan mengalami pergolakan.


Antara ciri-ciri politik yang stabil yang dapat dilihat adalah integrasi antara kaum. Seperti yang kita tahu, Malaysia mempunyai pelbagai kaum yang hidup di dalam satu negara iaitu Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan kaum-kaum peribumi yang lain. Walaupun setiap kaum itu mempunyai pegangan hidup, adat resam dan perilaku yang berbeza, masing-masing masih mampu menghormati perbezaan tersebut antara satu sama lain. Perbezaan ini yang membuatkan sesuatu negara itu dianggap unik. Sikap ini membantu para pemimpin untuk memimpin negara dengan baik. Ini kerana kesanggupan semua rakyat untuk hidup bersama dan berkongsi segala kemudahan yang disediakan dapat melahirkan keharmonian antara kaum. Oleh itu, secara tidak langsung akan mewujudkan suasana yang aman dalam politik.




Selain itu, negara yang mempunyai pemimpin yang bertanggungjawab akan membawa kepada kestabilan politik. Setiap pemimpin yang telah dilantik mempunyai tanggungjawab untuk memperjuangkan hak rakyat. Ini kerana pemimpin yang dilantik adalah hasil daripada kepercayaan rakyat terhadap pemimpin tersebut. Oleh itu, pemimpin mempunyai amanah yang besar yang harus dipikul agar dapat membuatkan negara berada dalam keadaan yang sejahtera. Pemimpin hendaklah membina negara dengan berlandaskan visi yang khusus. Sebagai contoh, Tun Mahathir Mohamad telah merangka matlamat agar Malaysia menjadi sebuah negara yang maju pada tahun 2020 yang dikenali sebagai Wawasan 2020. Justeru, ia merupakan tanggungjawab pemimpin untuk memastikan wawasan tersebut dalam dicapai dalam masa kurang 4 tahun lagi.




Akhir sekali adalah pembangunan modal insan yang berkualiti. Apa yang dimaksudkan dengan modal insan yang berkualiti adalah setiap manusia itu mempunyai pendidikan, tingkah laku yang baik, cara berfikir dan bertindak, kesedaran sivik yang tinggi serta menyedari tanggungjawabnya terhadap agama, bangsa dan negara. Ciri-ciri ini akan melahirkan modal insan kelas pertama yang akan dipandang tinggi dan tidak mudah untuk diperdayakan. Sehubungan dengan itu, modal insan merupakan asset yang penting bagi negara kerana jatuh bangun sesebuah negara tersebut berdasarkan kualiti yang ada pada insan tersebut. Modal insan yang berkualiti dalam pelbagai bidang akan membantu Malaysia untuk membangun dan menjadi sebuah tamadun yang disegani. Oleh itu, pemikiran rakyat dari segi amalan agama, politik dan sebagainya tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana pengaruh luar yang cuba untuk menjatuhkan kedudukan negara.







No comments:

Post a Comment