Saturday, 12 November 2016

KERANDA 152

KERANDA 152

Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah
Sebelum lidahmu jadi bisu

Usman Awang (1967)


Keranda 152 merujuk kepada Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan adalah salah satu dari kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh rakyat berbilang bangsa.Dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 jelas mencatatkan kedudukan bahasa Melayu akan dinaikkan kedudukan secara berperingkat dari 31 Ogos 1957 kepada tahap lebih baik 10 tahun kemudian iaitu pada 1967.Oleh kerana Malaysia baru merdeka pada 1957, parti pemerintah beranggapan bahawa Bahasa Melayu belum bersedia untuk mengambil alih tugas Bahasa Inggeris yang digunakan oleh pentadbiran penjajah dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran negara.

Tetapi apa yang berlaku pada tahun 1967 sebaliknya, Bahasa Inggeris masih diberi ruang yang besar sebagai bahasa rasmi. Badan NGO Melayu rasa terkejut dengan beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang Bahasa 1967 yang masih mengekalkan Bahasa Inggeris dalam beberapa bidang terutama bidang kehakiman.Mereka berasa bagi dikhianati oleh para pemimpin yaang kononnya memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu.Pejuang bahasa pada masa itu kecewa kerana bahasa Melayu tidak diletakkan pada kedudukan yang wajar bagi menggantikan Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa pengantar di sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti ketika itu.


Sekumpulan 9 orang peguam Melayu telah menghantar memorandum menyuarakan bantahan namun tidak dipedulikan oleh parti yang memerintah.Akibat daripada itu,bantahan  terjadi pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Lebih 2,000 pejuang bahasa termasuk pengarah DBP, Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail dan Allahyarham Usman Awang berhimpun dan berucap di Balai Budaya,DBP selepas sembahyang Jumaat pada 3 Mac 1967. Mereka mahu berarak membawa keranda putih bertulis Perkara 152 ke bangunan Parlimen yang terletak di Jalan Mahameru, kira-kira 3 km dari DBP. erarakan Keranda 152 dilakukan sebagai simbol kematian bahasa Melayu apabila bahasa Melayu tidak digunakan sebagai bahasa pengantar dan bahasa dalam bidang kehakiman. 


Peritiwa 13 Mei 1969, kemudiannya seakan menjadi penyelamat bila Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama dalam dasar pendidikan negara. Kemuncak perjuangan ini menyaksikan lahirnya Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 yang menyaksikan buat kali pertama, Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai pengantar utama.

Muncul pula perarakan Keranda 152 yang kedua. Perarakan besar-besaran ini digerakkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP). Mereka menuju ke Istana Negara pada 7 Mac 2009 sebagai memprotes Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kerana ia dilihat sebagai usaha ketara meminggirkan bahasa Melayu dalam subjek Sains, Matematik dan Teknologi di sekolah.  PPSMI dibatalkan pada 2012. Bagaimanapun, ada segelintir individu masih percaya penguasaan bahasa Inggeris boleh ditingkatkan melalui subjek Sains, Matematik dan Teknologi. lalu muncul DLP (Dual Language Program) untuk kira-kira 300 buah sekolah. Bagi pejuang bahasa Melayu, program DLP ini seperti menghidupkan semula PPSMI. Program ini dilihat sebagai satu lagi usaha meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan tinggi dan moden di negara sendiri. 

No comments:

Post a Comment