Monday 7 November 2016

TAHAP EKONOMI MALAYSIA TAHUN 2016 BERDASARKAN KUALITATIF DAN KUANTITATIF

KUALITATIF

1.Ekonomi Malaysia Berkembang 4.2% Pada Suku Pertama


Ekonomi Malaysia berkembang 4.2% pada suku pertama 2016 (S4 2015: 4.5%). Pertumbuhan yang menurun sedikit ini sebahagian besarnya mencerminkan kejutan luaran terhadap ekonomi dan perbelanjaan berhati-hati oleh sektor swasta. Walau bagaimanapun, perbelanjaan sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan (4.5%; S4 2015: 4.9%). Eksport bersih menyumbang secara negatif kepada pertumbuhan pada suku itu berikutan penurunan eksport benar barangan dan perkhidmatan (-0.5%; S4 2015: +4.0%) dalam keadaan pertumbuhan yang terus positif dalam import benar (1.3%; S4 2015; 4.0%). Berdasarkan asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 1.0% (S4 2015: 1.2%)





2.Inflasi Meningkat Pada Suku Pertama 2016

Inflasi, seperti yang diukur oleh perubahan tahunan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), lebih tinggi pada 3.4% pada suku pertama 2016 (S4 2015: 2.6%). Inflasi dalam kategori perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat kepada 3.0% pada suku pertama 2016 (S4 2015: 2.5%) susulan pengurangan rebat untuk tarif elektrik daripada 2.25 sen untuk setiap kWj kepada 1.52 sen untuk setiap kWj pada bulan Januari 2016. Inflasi yang lebih tinggi pada suku pertama juga disebabkan oleh kadar inflasi negatif yang lebih kecil dalam kategori pengangkutan (-1.6%; S4 2015: -5.7%) yang berpunca daripada kesan asas tahunan berikutan penurunan yang lebih besar dalam harga bahan api dalam negeri pada suku pertama 2015. Indeks Harga Pengeluar (IHPR) menurun 4.4% pada suku pertama 2016 (S4 2015: -4.5%). Penurunan ini didorong terutamanya oleh harga bahan pengantara yang lebih rendah, terutamanya dalam kategori bahan api yang diproses dan pelincir, yang mencerminkan harga tenaga dan komoditi global yang rendah pada suku pertama.



3. Keadaan Pasaran Pekerja Lebih Perlahan Tetapi Stabil

Keadaan pasaran pekerja lebih perlahan, namun pada amnya stabil pada suku pertama 20161 , dengan kadar pengangguran meningkat sedikit (3.4% daripada jumlah tenaga kerja; S4 2015: 3.2%), manakala penyertaan tenaga kerja mampan (67.6% daripada jumlah tenaga kerja; S4 2015: 67.7%). Permintaan terhadap pekerja baharu juga mampan pada suku pertama berdasarkan pertambahan jumlah jawatan baharu yang diiklankan oleh majikan, yang kebanyakannya daripada sektor perkilangan dan perkhidmatan, di Jobstreet.com (61,378; S4 2015: 54,569).

Agregat upah dalam sektor perkilangan terus mencatat pertumbuhan yang teguh (6.9%; S4 2015: 7.4%) disokong oleh prestasi eksport yang terus meningkat, terutamanya kelompok elektrik dan elektronik (E&E). Namun demikian, pertumbuhan guna tenaga dalam sektor perkilangan terus lemah (-0.5%; S4 2015: -0.4%), menunjukkan bahawa majikan masih berhati-hati dalam menambah tenaga kerja mereka pada suku tersebut. Dalam subsektor perkhidmatan perdagangan edaran2, pertumbuhan upah mampan pada 4.7% (S4 2015: 4.6%). Guna tenaga dalam subsektor ini meningkat pada kadar 2.5% (S4 2015: 2.6%).



4. Rizab Antarabangsa Kekal Lebih Daripada Mencukupi Untuk Memudahkan Urus Niaga Antarabangsa

 Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah RM381.6 bilion (bersamaan dengan USD97.0 bilion) pada 31 Mac 2016. Berikutan pelarasan suku tahunan bagi perubahan penilaian semula pertukaran asing, paras rizab dalam nilai ringgit merosot disebabkan oleh pengukuhan ringgit berbanding dengan pelbagai mata wang. Walau bagaimanapun, sebagai mencerminkan komposisi aset rizab mata wang asing yang pelbagai, paras rizab dalam nilai USD telah meningkat, berikutan penyusutan nilai USD berbanding dengan kebanyakan mata wang utama dan serantau pada suku tersebut.

Pada 29 April 2016, kedudukan rizab berjumlah RM381.4 bilion (bersamaan dengan USD97.0 bilion) Paras rizab antarabangsa kekal lebih daripada mencukupi untuk memudahkan urus niaga antarabangsa. Paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.9 bulan import tertangguh, jauh lebih tinggi daripada paras ambang antarabangsa iaitu 3 bulan. Paras rizab ini juga mencukupi untuk memenuhi obligasi luaran memandangkan perlindungan rizab kepada hutang luar negeri jangka pendek adalah sebanyak 1.2 kali. Penting untuk diketahui bahawa bukan semua hutang luar negeri jangka pendek memerlukan tuntutan terhadap rizab memandangkan peminjam mempunyai aset luaran dan perolehan eksport.


KUANTITATIF

1. Perbelanjaan Kerajaan Meningkat

 Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan meningkat 5.1% (S4 2015: -4.2%), disebabkan oleh perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan yang lebih tinggi. Peningkatan dalam perbelanjaan mengurus disebabkan oleh perbelanjaan lebih tinggi untuk bekalan dan perkhidmatan dan pencen dan gratuiti. Perbelanjaan pembangunan pula meningkat sebagai mencerminkan perbelanjaan lebih tinggi untuk projek perumahan, jalan raya dan jambatan, masing-masing di bawah sektor perkhidmatan sosial dan pengangkutan. Hasil Kerajaan merosot 5.3% (S4 2015: -6.0%), disebabkan terutamanya oleh kutipan cukai berkaitan minyak dan syarikat yang lebih rendah. Secara keseluruhan, Kerajaan Persekutuan mencatat defisit 6.1% daripada KDNK (S4 2015: -5.6% daripada KDNK) pada suku tersebut. Pada akhir bulan Mac 2016, jumlah hutang terkumpul Kerajaan Persekutuan ialah RM626.9 bilion atau 51.0% daripada anggaran KDNK bagi tahun 2016.




2. Hutang Luar Negeri Terurus

Hutang luar negeri Malaysia berjumlah RM809.1 bilion bersamaan dengan USD203.7 bilion atau 65.8% daripada KDNK pada akhir bulan Mac 2016 (akhir bulan Disember 2015: RM833.8 bilion atau USD192.3 bilion, bersamaan dengan 72.1% daripada KDNK). Hutang luar negeri yang lebih rendah disebabkan terutamanya oleh kesan penilaian berikutan pengukuhan ringgit berbanding dengan kebanyakan mata wang. Ini telah diimbangi sebahagiannya oleh pemegangan sekuriti hutang domestik yang lebih tinggi oleh bukan pemastautin. Pengukuhan ringgit telah memberikan kesan terutamanya kepada jumlah peminjaman luar pesisir terkumpul, yang merosot kepada RM439.0 bilion pada akhir bulan Mac 2016 (akhir bulan Disember 2015: RM463.6 bilion). Ia juga telah menyebabkan deposit bukan pemastautin dan liabiliti hutang luar negeri lain lebih rendah, masing-masing merosot kepada RM78.8 bilion dan RM67.5 bilion (akhir bulan Disember 2015: masing-masing RM81.6 bilion dan RM77.2 bilion).

Pada suku tersebut, terdapat pembayaran balik bersih peminjaman luar pesisir oleh sektor awam disebabkan terutamanya oleh pembayaran balik bersih oleh syarikat awam, mencerminkan khususnya penebusan satu bon antarabangsa. Namun demikian, ini telah diimbangi sebahagiannya oleh ambilan bersih pinjaman antara syarikat oleh syarikat multinasional asing yang mempunyai pelaburan langsung di negara ini. Pada suku tersebut, pemegangan sekuriti hutang domestik oleh bukan pemastautin meningkat sebanyak RM12.5 bilion kepada RM223.9 bilion, mencerminkan sentimen pelabur yang terus bertambah baik (akhir bulan Disember 2015: RM211.3 bilion). Pemerolehan tertumpu terutamanya pada sekuriti hutang domestik Kerajaan seperti MGS dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (Government Investment Issues).

Sementara itu, pemegangan Nota Monetari Bank Negara (Bank Negara Monetary Notes) oleh bukan pemastautin merosot kepada RM21.1 bilion pada akhir bulan Mac 2016 (akhir bulan Disember 2015: RM23.7 bilion). Secara keseluruhan, hutang luar negeri Malaysia kekal terurus, dengan lebih separuh daripada jumlah hutang luar negeri terkumpul merupakan hutang jangka sederhana hingga panjang (59.4%). Kesan turun naik pertukaran asing dapat dibendung dengan agak baik memandangkan kira-kira 40% daripada jumlah hutang luar negeri adalah dalam denominasi ringgit. Baki hutang luar negeri kebanyakannya dilindung nilai sama ada secara lazim menerusi perolehan mata wang asing atau melalui penggunaan instrumen kewangan.

Hutang luar negeri jangka pendek adalah lebih rendah pada suku tersebut dan hanya mencakupi 40.6% daripada jumlah hutang luar negeri. Rizab antarabangsa memadai untuk membiayai 1.2 kali hutang luar negeri jangka pendek. Memandangkan terdapat perolehan mata wang asing dan aset luaran bank dan syarikat yang besar, bukan semua hutang luar negeri jangka pendek memerlukan tuntutan terhadap rizab antarabangsa.



3. Kekukuhan Ringgit Didorong Oleh Faktor Dalam Dan Luar Negeri
Ringgit dan mata wang serantau yang lain menambah nilai berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku pertama. Ini disebabkan oleh prestasi ekonomi AS yang lebih lemah daripada jangkaan yang mendorong kepada jangkaan bahawa Federal Reserve akan mengambil langkah yang lebih perlahan untuk mengembalikan kadar faedah ke paras yang wajar. Walau bagaimanapun, ringgit menambah nilai jauh lebih ketara berbanding dengan mata wang utama dan serantau yang lain. Ini didorong oleh pengumuman data ekonomi negara yang positif, pemulihan harga minyak mentah Brent dan pengumuman Pengubahsuaian Bajet 2016. Faktor-faktor ini meningkatkan sentimen pelabur terhadap ekonomi Malaysia dan menyumbang kepada peningkatan minat pelabur terhadap aset kewangan ringgit. 

Secara keseluruhan, ringgit menambah nilai sebanyak 9.4% berbanding dengan dolar AS pada suku pertama. Ringgit juga menambah nilai berbanding dengan paun sterling (13.1%), euro (5.7%), dolar Australia (4.4%) dan yen Jepun (2.2%). Berbanding dengan semua mata wang serantau, ringgit juga menambah nilai antara 4.6% hingga 9.0%. Antara 1 April hingga 11 Mei 2016, ringgit menyusut nilai berbanding dengan dolar AS (-3.3%). Ringgit juga menyusut nilai berbanding dengan euro (-3.9%), paun sterling (-4.0%), dan yen Jepun (-6.4%). Walau bagaimanapun, ringgit menambah nilai berbanding dengan dolar Australia (0.7%). Ringgit menyusut nilai berbanding dengan mata wang serantau.



4. M3 Berkembang Pada Suku Pertama

Wang secara kecil atau M1, menyusut sebanyak RM6.3 bilion pada suku ini. Pada asas tahunan, M1 menguncup sebanyak -1.7% pada akhir bulan Mac (akhir bulan Disember 2015: 4.1%). Penguncupan dalam M1 mencerminkan terutamanya pengeluaran deposit permintaan untuk bayaran balik pinjaman sekali sahaja yang besar oleh perniagaan domestik. Wang secara luas atau M3 meningkat sebanyak RM9.8 bilion pada asas suku tahunan untuk mencatat kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 0.9% pada akhir bulan Mac (akhir bulan Disember 2015: 2.6%). Peningkatan M3 yang lebih perlahan pada suku pertama mencerminkan terutamanya pemberian kredit yang lebih sederhana kepada sektor swasta oleh sistem perbankan.

Pada asas tahunan, pertumbuhan wang secara luas yang lebih sederhana juga mencerminkan aset asing bersih yang lebih rendah disebabkan oleh aliran keluar sektor luaran. Dalam sistem perbankan, keadaan mudah tunai kekal lebih daripada mencukupi pada peringkat institusi dan seluruh sistem. Paras lebihan mudah tunai yang ditempatkan di Bank Negara Malaysia secara relatif stabil pada suku pertama. Pengurangan nisbah keperluan rizab berkanun (SRR) daripada 4.00% kepada 3.50% yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2016 menyebabkan peningkatan mudah tunai secara menyeluruh dalam sistem perbankan. Susulan pengurangan SRR ini, aktiviti pemberian pinjaman antara bank yang lebih tinggi dicatatkan dan ini sebahagiannya melegakan permintaan terhadap operasi repo berbalik BNM.


No comments:

Post a Comment