Sunday 20 November 2016

POLEMIK DALAM RUU 355

APA ITU RUU 355

Satu akta yang memberi bidang kuasa jenayah kepada mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang negeri bagi maksud membicarakan kesalahan jenayah bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.

1965:
  • Ditubuhkan buat pertama kali dan dikenali sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
  • Hukuman denda sebanyak RM1000 dan penjara selama 6 bulan.
1985:
  • Pindaan pertama dilakukan untuk meluaskan lagi kuasa menghukum.
  • Hukuman denda bertambah menjadi RM5000, penjara selama 3 tahun dan sebatan sebanyak 6 kali.
1989:
  • Pindaan yang dilakukan bagi meluaskan pelaksanaan ke Sabah dan Sarawak.
1997:
  • Pindaan dilakukan tetapi hanya pada tafsiran sahaja.
2016:
  • Cadangan pindaan dilakukan oleh Ahli Parlimen Marang di Dewan Rakyat bagi meluaskan bidang kuasa hukuman yang dibenarkan Mahkamah Syariah kecuali hukuman mati.
ANTARA POLEMIK DALAM RUU 355

Adakah Akta 355 itu hudud atau menjadi pintu kepada pelaksanaan hukum hudud ?

Pindaan Akta 355 hanyalah aturan perubahan undang-undang yang bertujuan untuk meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah. Bagi melaksanakan hukum hudud, sekurang-kurangnya tiga pindaan perlu dilakukan kepada beberapa bahagian di dalam Perlembagaan dan bukan dengan meminda Akta 355 yang terhad kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah. Jelaslah, Akta 355 bukan hudud dan bukan juga pintu kepada pelaksanaan hukum hudud.

Adakah hukuman 100 kali sebatan melampau ?

Kaedah sebatan syariah jauh berbeza dengan sebatan sivil kerana syarat sebatan syariah tidak boleh mencederakan. Cara pelaksanaan sebatan tersebut adalah dengan hayunan seolah-olah meletakkan buku di bawah ketiak dan buku tersebut tidak boleh jatuh tatkala menghayun. Ringkasnya, 100 kali sebatan syariah tidak sama dengan sebatan sivil yang boleh mencederakan walaupun hanya sekali sebatan.

Adakah Akta 355 memberi kesan terhadap orang bukan Islam ?

Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya untuk umat Islam dan dalam Akta 355 Seksyen 2 juga menjelaskan bahawa hanya orang Islam yang boleh dibicarakan dan dihukum di Mahkamah Syariah.

Bagaimana jika berlaku kejadian rogol yang melibatkan orang Islam dan bukan Islam ?

Rogol bukan kesalahan jenayah di bawah bidang kuasa Negeri kerana ia terletak di bawah kuasa Persekutuan khususnya undang-undang Penal Code atau Akta Kanun Jenayah Persekutuan.

Autonomi lebih luas kepada Negeri untuk mencegah maksiat dan salahlaku syariah ?

Jika pindaan Akta 355 diluluskan di Parlimen, ia tidak meningkatkan kadar hukuman secara automatik. Sebaliknya Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu meluluskan tahap hukuman bagi setiap kesalahan dalam Enakmen-enakmen Syariah yang sedang berkuatkuasa di negeri tersebut terlebih dahulu. Peluang untuk berbahas mengenai kadar hukuman yang munasabah masih terbuka di peringkat DUN. Selain daripada kesalahan-kesalahan di dalam Enakmen Jenayah Syariah, kesalahan lain yang berkaitan kekeluargaan seperti kahwin lari, poligami tanpa kebenaran, tidak bayar nafkah, melarikan anak dara dari jagaan dan lain-lain masih kekal.

No comments:

Post a Comment