Wednesday 16 November 2016

TANGGUNGJAWAB KERAJAAN DALAM PENGAGIHAN

Tanggungjawab Kerajaan Dalam Pengagihan

Kerajaan yang bertanggungjawab adalah kerajaan yang mengutamakan kepentingan dan memenuhi keperluan rakyat. Kerajaan melaksanakan dasar yang boleh membawa kepada perpaduan, menghapuskan kemiskinan, menguatkan golongan yang lemah dan memenuhi keperluan asas supaya kualiti hidup mereka meningkat. Untuk tujuan tersebut, kerajaan pada pandangan Muhammad Abdul Mannan (1986:57-105) dalam bukunya Islamic Economic: Theory and Practice, bertanggungjawab mewajibkan bayaran zakat, mengharamkan riba kepada pinjaman penggunaan dan pengeluaran, mewujudkan undang-undang harta warisan, menggalakkan pinjaman tanpa faedah, tidak menggalakkan penyusutan sumber-sumber ekonomi, menggalakkan pemberian sedekah, menggalakkan organisasi takaful (insuran), menggalakkan penubuhan badan waqaf, menguatkuasakan jaminan sosial bagi keperluan hidup minima, dan menggenakan cukai tambahan tertentu. 

Antara langkah lain yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah mewujudkan undang-undang mengenai pemilikan supaya semua pihak bertanggungjawab, mengawasi jaminan kepentingan umum (dharuriyat, hajiyat dan kamaliyat) bagi memastikan keselesaan hidup, menyediakan tenaga manusia yang terlatih dan berpengetahuan, memperlengkapkan infrastruktur yang sempurna, menyekat aktiviti yang boleh menghalang atau menyekat aliran pengagihan dengan hukuman yang setimpal, mengorganisasikan zakat dari segi kutipan dan agihan yang cekap, bertindak ke atas mereka yang enggan membayar zakat dan memberi keutamaan kepada Dasar Kewangan Islam yang berasaskan cukai dan mengurangkan perbelanjaan negara menerusi hutang, mengawal perbelanjaan dari pembaziran dan terlalu mewah.

Firman Allah :

مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ وَمَا ءَاتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Apa saja harta rampasan (fay’) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan; supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya di antara kalian saja. Apa saja yang Rasul berikan kepada kalian, terimalah. Apa saja yang Dia larang atas kalian, tinggalkanlah. Bertakwalah kalian kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.
(Surah Al- Hasyr: 7)

No comments:

Post a Comment