Monday, 31 October 2016

PENGARUH HINDU BUDDHA TERHADAP ZAMAN KERAJAAN MELAYU AWAL

SEBELUM KEDATANGAN AGAMA HINDU DAN BUDDHA

Pada ketika ini dikatakan masyarakat Melayu mempunyai sistem kepercayaan primitif iaitu animisme dan dinamisme yang mempercayai bahawa setiap benda ada jiwa, roh atau semangat yang mempunyai perwatakan sendiri, sama ada dapat membawa kesan baik atau buruk.

 Roh nenek moyang yang dinamakan “hyang” (seerti “poyang”/ “moyang”) dipercayai masih berada di kalangan mereka dan mempunyai tenaga yang kuat yang boleh mempengaruhi mereka. Oleh itu ia perlu ditenangkan melalui upacara pemujaan dan penyembahan.Selain itu, pawang, Bomoh dan Dalang merupakan peribadi perantara yang boleh menghubungi “hyang” melalui pembacaan jampi, serapah, penyajian dan sebagainya.


KEDATANGAN DAN PENGARUH AGAMA HINDU DAN BUDDHA

Dengan kedatangan agama Hindu dan Buddha ke alam Melayu, upacara agama menjadi lebih formal dan tersusun. Namun pengaruh itu tidak benar-benar melibatkan keseluruhan ajaran yang terdapat dalam falsafah Hindu-Buddha asli, yang dipentingkan hanya perkara-perkara yang berkaitan dengan selok-belok upacara agama. Di samping itu, ajaran Hindu-Buddha ini juga membesar-besarkan keagungan dewa-dewa dan ini telah mempengaruhi kepercayaan masyarakat Melayu.

Pandangan semesta yang dipengaruhi oleh agama baru ini juga dapat dikesan melalui karya-karya Melayu tradisional yang bercorak mitos dan lagenda. Ini dipengaruhi daripada ajaran kitab-kitab suci agama Hindu seperti Mahabrata, Bhagavad Sita dan Baratayudha. Oleh itu aspek-aspek yang dipentingkan ialah kesenian, keindahan, keromantisan, kesedihan, keagungan dan ketakjuban. Aspek-aspek falsafah dan penghujahan yang rasional tidak ditekankan. Ini telah mempengaruhi pemikiran masyarakat Melayu khususnya golongan bangsawan.

Menurut pendapat Profesor Syed Muhammad Naquib Al- Attas, kedatangan agama Hindu tidak merubah pandangan masyarakat Melayu secara mutlak. Apa yang jelas terlihat ialah kesan pengaruh Hindu-Buddha hanya pada lapisan atasan sahaja iaitu (golongan bangsawan), namun ia tidak menyerap ke segenap lapisan masyarakat Melayu. Buktinya, tiada nama hindu yang diguna pakai oleh masyarakat Melayu tempatan kecuali dalam golongan bangsawan sahaja, sebaliknya masyarakat Melayu menggunakan nama berunsur alam seperti teratai, anggerik, kenanga dan sebagainya.

Kebudayaan Hinduism dan Buddhism juga wujud dari segi seni budaya dan adat dalam masyarakat Melayu. Contohnya, watak yang terdapat dalam wayang kulit seperti Ramayana, Sita Dewi dan Hanuman. Dalam adat seperti perkahwinan pula, terdapat unsur pengaruh budaya hindu seperti tepung tawar, bunga telur, bersanding dan sebagainya.

Selain itu, Adat Melenggang Perut telah diamalkan di kalangan keluarga diraja dan juga rakyat jelata apabila kandungan ibu genap tujuh bulan. Upacara ini dilakukan oleh Tok Bidan dengan tujuan untuk membuang kecelakaan yang  mungkin menimpa ibu yang bakal bersalin. Ini adalah kepercayaan animisme pada unsur ghaib. Di samping itu, adat ini juga bertujuan membetulkan kedudukan bayi di dalam perut ibunya. Bahan-bahan yang digunakan dalam upacara ini ialah beras kunyit, buah kelapa agar ibu dapat lahirkan anak dengan mudah dan selamat. Adat ini juga dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian. Pada permulaannya bidan akan membacakan jampi mantera dan mengandam wanita hamil tadi. Tepung tawar dicalit ke mukanya dan beras kunyit ditabur. Adat melenggang perut ini dipercayai adat ini mengandungi unsur-unsur budaya Hindu.

Seterusnya, konsep raja dan kerajaan adalah istilah yang dipinjam daripada kebudayaan Hindu manakala konsep negeri atau negara dipinjam daripada perkataan Sanskrit. Akhir sekali, dalam penggunaan susun lapis perlantikan pegawai kerajaan istana zaman awal di alam Melayu adalah secara berangka seperti orang besar berempat, berlapan, enam belas, tiga puluh dua adalah dipengaruhi oleh astrologi Hindu.





Wayang kulit





Adat melenggang perut

No comments:

Post a Comment